Sunday, July 29, 2012

Al-Fatihah


Surat Al Faatihah (Pembukaan) yang diturunkan di Mekah dan terdiri dari 7 ayat adalah surat yang pertama-tama diturunkan dengan lengkap diantara surat-surat yang ada dalam Al Quran dan termasuk golongan surat Makkiyyah. Surat ini disebut Al Faatihah (Pembukaan), karena dengan surat inilah dibuka dan dimulainya Al Quran. Dinamakan Ummul Quran (induk Al Quran) atau Ummul Kitaab (induk Al Kitaab) karena dia merupakan induk dari semua isi Al Quran, dan karena itu diwajibkan membacanya pada tiap-tiap sembahyang.
Dinamakan pula As Sab'ul matsaany (tujuh yang berulang-ulang) karena ayatnya tujuh dan dibaca berulang-ulang dalam sembahyang.

Surat ini mengandung beberapa unsur pokok yang mencerminkan seluruh isi Al Quran, yaitu :

1. Keimanan:
Beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa terdapat dalam ayat 2, dimana dinyatakan dengan tegas bahwa segala puji dan ucapan syukur atas suatu nikmat itu bagi Allah, karena Allah adalah Pencipta dan sumber segala nikmat yang terdapat dalam alam ini. Diantara nikmat itu ialah : nikmat menciptakan, nikmat mendidik dan menumbuhkan, sebab kata Rab dalam kalimat Rabbul-'aalamiin tidak hanya berarti Tuhan atau Penguasa, tetapi juga mengandung arti tarbiyah yaitu mendidik dan menumbuhkan. Hal ini menunjukkan bahwa segala nikmat yang dilihat oleh seseorang dalam dirinya sendiri dan dalam segala alam ini bersumber dari Allah, karena Tuhan-lah Yang Maha Berkuasa di alam ini. Pendidikan, penjagaan dan Penumbuahn oleh Allah di alam ini haruslah diperhatikan dan dipikirkan oleh manusia sedalam-dalamnya, sehingga menjadi sumber pelbagai macam ilmu pengetahuan yang dapat menambah keyakinan manusia kepada keagungan dan kemuliaan Allah, serta berguna bagi masyarakat. Oleh karena keimanan (ketauhidan) itu merupakan masalah yang pokok, maka didalam surat Al Faatihah tidak cukup dinyatakan dengan isyarat saja, tetapi ditegaskan dan dilengkapi oleh ayat 5, yaitu : Iyyaaka na'budu wa iyyaka nasta'iin (hanya Engkau-lah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkau-lah kami mohon pertolongan). Janji memberi pahala terhadap perbuatan yang baik dan ancaman terhadap perbuatan yang buruk.

Yang dimaksud dengan Yang Menguasai Hari Pembalasan ialah pada hari itu Allah-lah yang berkuasa, segala sesuatu tunduk kepada kebesaran-Nya sambil mengharap nikmat dan takut kepada siksaan-Nya. Hal ini mengandung arti janji untuk memberi pahala terhadap perbuatan yang baik dan ancaman terhadap perbuatan yang buruk. Ibadat yang terdapat pada ayat 5 semata-mata ditujukan kepada Allah, selanjutnya lihat no. [6].

2. Hukum-hukum:
Jalan kebahagiaan dan bagaimana seharusnya menempuh jalan itu untuk memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Maksud "Hidayah" disini ialah hidayah yang menjadi sebab dapatnya keselamatan, kebahagiaan dunia dan akhirat, baik yang mengenai kepercayaan maupun akhlak, hukum-hukum dan pelajaran.

3. Kisah-kisah:
Kisah para Nabi dan kisah orang-orang dahulu yang menentang Allah. Sebahagian besar dari ayat-ayat Al Quran memuat kisah-kisah para Nabi dan kisah orang-orang dahulu yang menentang. Yang dimaksud dengan orang yang diberi nikmat dalam ayat ini, ialah para Nabi, para shiddieqiin (orang-orang yang sungguh-sungguh beriman), syuhadaa' (orang-orang yang mati syahid), shaalihiin (orang-orang yang saleh). Orang-orang yang dimurkai dan orang-orang yang sesat, ialah golongan yang menyimpang dari ajaran Islam.

Perincian dari yang telah disebutkan diatas terdapat dalam ayat-ayat Al Quran pada surat-surat yang lain.

Surat Al Fatihaah ini melengkapi unsur-unsur pokok syari'at Islam, kemudian dijelaskan perinciannya oleh ayat-ayat Al Quran yang 113 surat berikutnya.

Persesuaian surat ini dengan surat Al Baqarah dan surat-surat sesudahnya ialah surat Al Faatihah merupakan titik-titik pembahasan yang akan diperinci dalam surat Al Baqarah dan surat-surat yang sesudahnya.

Dibahagian akhir surat Al Faatihah disebutkan permohonan hamba supaya diberi petunjuk oleh Tuhan kejalan yang lurus, sedang surat Al Baqarah dimulai dengan penunjukan al Kitaab (Al Quran) yang cukup sempurna sebagai pedoman menuju jalan yang dimaksudkan itu.

Monday, July 23, 2012

Halalan Toyyiban Asas Keutuhan Ummah


Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “HALALAN TOYYIBA ASAS KEUTUHAN UMMAH ”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Perkataan ‘HALAL’ membawa maksud yang luas mengenai tatacara hidup orang Islam yang menitikberatkan aspek halalan thoyyiba iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan yang sihat serta halal. Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk ketrampilan peribadi seseorang yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan ummah. Sebagai umat Islam kita wajib memastikan sumber makanan dan minuman adalah halal dan  memenuhi panduan pemakanan syariat Islam. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 168:
Bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”.
Ibn kathir di dalam kitabnya Tafsir Ibn Kathir menyatakan bahawa: perkataan toyyiba itu membawa maksud baik, bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak . Thoyyiba  merangkumi dua perkara iaitu soal fizikal dan kerohanian. Ia mestilah selari dengan syariat, tidak bercanggah dan disertai dengan keikhlasan kepada Allah SWT. Makanan yang halal di sisi syara’ adalah makanan yang bersih zatnya, suci kaedah perolehannya serta bebas dari sebarang kemudharatan, sebaliknya sesuatu makanan yang haram sekalipun lazat rasanya, harum baunya tetap keji di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu (Hadith Riwayat Muslim). Oleh yang demikian sebagai seorang Islam samada pengusaha makanan halal dan individu hendaklah mengambil kira setiap perkara samada  dari segi modal perniagaan, pelaburan, hasil pendapatan  dan hendaklah dijauhi dari unsur-unsur yang haram seperti judi, riba, rasuah dan sebagainya.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan yang halal dan bersih kepada umatnya. sesuatu makanan yang haram dimasukkan ke dalam tubuh seseorang akan membawa kepada kesan yang mendalam kepada tingkah laku, budi pekerti, kejernihan hati nurani dan penerimaan doa yang dipanjatkan kehadrat Allah SWT.  Panduan pemakanan di dalam Islam adalah berlandaskan konsep “memberi kemudahan, menjaga nyawa, menjamin kesihatan tubuh badan dan akal ”. Kerana itu setiap makanan yang memberi manfaat kepada tubuh badan dan akal fikiran adalah dibenarkan oleh syarak, manakala yang haram dan memudharatkan fikiran serta badan diharamkan dan ditegah. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 114-115:
Bermaksud: “Oleh itu, makanlah dari apa yang dikurniakan Allah kepadamu dari yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu menyembah-NYA Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa sedang ia tidak dianiaya dan tidak melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani ”.
Oleh kerana itu, agama Islam telah meletakkan garis panduan dalam pemakanan. Makanan yang hendak dimakan, dipilih atau diproses mestilah berasaskan halalan toyyiba. Kita wajib memilih makanan yang halal, yang mempunyai unsur baik samada dari sudut kesihatan dan keselamatan serta menjauhi makanan yang haram, kerana di sebalik perkara yang haram itu terdapatnya bahaya dan kemudharatan. Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, Syed Qutb menyatakan: Sama ada ilmu manusia dapat mengetahui hikmah pengharaman sesuatu perkara atau tidak, namun yang pasti, Allah Maha Mengetahui dan amat mengatasi keupayaan kita untuk mengetahui sesuatu perkara. Allah tidak mengharamkan sesuatu, kecuali pasti perkara tersebut mempunyai bahaya dan kemudaratannya. Seorang ulama terkenal Abdullah Sahl al-Tusturi berkata: “Sesiapa yang makan makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak, sama ada dia tahu atau tidak dan sesiapa yang makan makanan yang halal, maka seluruh anggota tubuhnya akan tunduk taat dan mudah melaksanakan kebajikan. Berdasarkan kepada pandangan ini menunjukkan bahawa pemakanan halal mempunyai kedudukan yang penting dalam kehidupan di dunia ini dan berkait rapat dengan balasan hari akhirat. Sabda Rasulullah SAW:
Mafhumnya: “ Mana-mana hamba, dagingnya itu tumbuh dari perkara yang haram dan amalan riba, api nerakalah yang patut(untuk membakar dan menghilangkan) daging tersebut”. (Hadith Riwayat Ibn Marduiah)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Di dalam mengharungi perkembangan semasa di era global dunia hari ini, banyak makanan dan minuman yang ditawarkan kepada kita perlu diperiksa dan diteliti dengan sebaiknya. Dalam hal ini perkara yang halal lagi baik hendaklah menjadi keutamaan kita, manakala yang haram dan tidak baik semestinya dihindari. Kita juga dituntut agar menjauhi barang-barang syubhah  yang mengelirukan dan tidak jelas hukumnya, kita sepatutnya berwaspada supaya tidak mengambil atau mencubanya melainkan setelah dipastikan kehalalannya dan kebaikannya. Ini kerana pengambilan makanan dan minuman yang syubhah boleh mengheret kepada penggunaan barangan yang haram secara tidak disangka-sangka.
Dalam perkembangan semasa juga ada dari kalangan peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan memperdayakan pengguna seperti permalsuan logo halal, menggunakan logo halal pada produk yang haram. Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan namun soal keberkatan dan keikhlasan tidak boleh diketepikan atau dipandang remeh. Mimbar ingin menegaskan bahawa mereka yang melakukan penipuan ini sebenarnya telah mengkhanati masyarakat Islam dan telah melakukan amalan syaitan yang menyesatkan.
Berdasarkan kepada keperluan ini dan keperihatinan pemerintah maka dikuatkuasakan Akta Perihal Dagangan 2011. Melalui akta ini terdapat dua perintah yang menerangkan aspek halal iaitu Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011 yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012. Justeru mimbar menyeru kepada semua pihak agar bertanggungjawab dan mematuhi akta yang telah dikuatkuasakan ini.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Perlaksanaan Akta Perihal Dagangan 2011 ini adalah untuk membantu kelancaran perlaksanaan persijilan halal di negara kita, justeru kepada semua pihak yang terlibat hendaklah mengikuti segala prosedur, standard dan segala aspek yang ditetapkan dalam persijilan halal. Kewujudan akta ini antara lain ialah bagi memastikan jaminan tanda halal hanya dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti, bagi memastikan integriti halal terjamin sepanjang masa. Walaubagaimanapun perlu diingatkan dalam keghairahan kita membicarakan tentang halal samada dari segi akta, sistem kualiti dan pengurusannya,  janganlah kita lupa bahawa rujukan sebenar halal dan persijilan halal hendaklah berdasarkan kepada syariah Islam sebagai ukuran yang mutlak.
Mimbar juga mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian tentang bahayanya fitnah dan khabar angin yang melanda dalam masyarakat pada masa kini terutamanya melalui media massa seperti internet dan facebook. Fitnah adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar, ia adalah haram di dalam Islam. Ingatlah fitnah ini dapat memecah-belahkan dan menggugat keharmonian serta perpaduan masyarakat. Justeru mimbar menyeru agar kita menjauhi dan berhati-hati dengan khabar angin serta ancaman fitnah ini.
Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang Jumaat sekalian supaya melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan sebagai seorang muslim yang prihatin dalam setiap perkara serta menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang menampakkan hasil dan kesan. Laporkanlah sebarang keraguan yang tidak munasabah kepada pihak yang berwajib. Marilah sama-sama kita meletakkan keutamaan untuk memilih hanya yang halal dalam setiap urusan kehidupan kita khususnya dalam aspek pemakanan. Sebagai umat Islam kita juga harus berwaspada produk-produk yang ada di pasaran. Pilihlah produk yang disahkan halal oleh badan-badan yang diiktiraf seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,  Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri. Marilah sama-sama kita bekerjasama dalam menjayakan program pemakan halal demi pembangunan dan kesejahteraan ummah. Marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 70:
Bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan kenderaan di darat dan di laut; dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”.

Tuesday, July 10, 2012

Didik Jiwa Kita Agar Sentiasa Redho.......

السلام علبكم و رحمة الله و بركاته


Mensyukuri nikmat dan sabar ketika ditimpa musibah/ujian menjadi  pengukur darjat keimanan seseorang hamba Allah. Firman Allah 
تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌالَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
yang bermaksud: Maha Suci Allah  Yang di tangan-Nya lah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu,Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.Al Mulk 1-2

Menyingkap maksud firman Allah itu, manusia sentiasa akan diuji dengan kebaikan dan kepayahan. Segala perkara atau peristiwa berlaku dengan izin dan kehendak Allah. Bagi Allah segala-galanya adalah kebaikan untuk hambanya. Penerimaan manusia boleh jadi berbeza sama ada perkara itu baik atau buruk kecuali orang mukmin yang memiliki keimanan sebenar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
  “Allah sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar.” (Maksud al-Hadis)

Setiap masa dalam  kehidupan ini  kita perlu meyakini bahawa kita berada dalam ujian Allah sehingga ruh bercerai daripada badan. Firman Allah 
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَوَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
 yang bermaksud: “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya Allah maha mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta,” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Manusia diberi kemampuan mengamati atau menilai sesuatu perkara dan peristiwa secara zahir melalui deria penglihatan. Manusia juga dapat mengguna akal untuk mentafsir perkara atau peristiwa yang dilihat. Manusia yang lebih tinggi martabatnya ialah apabila dapat melihat melalui mata hati. Ini adalah penglihatan atau gambaran cahaya iman. Allah berfirman 
فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الأبْصَارِ
 yang bermaksud: “Maka ambillah pelajaran wahai orang yang memiliki mata hati.” (Surah al-Haysr, ayat 2)

Sering kali kita terdengar rungutan apabila hari hujan kerana hujan yang turun menyusahkan untuk ke pejabat atau ke mana saja sedangkan bagi tukang kebun atau petani, hujan adalah rahmat Allah yang akan menyuburkan pokok serta tanaman mereka. Begitulah kepelbagaian ragam dan persepsi dalam kehidupan. Segala penentuan Allah diterima dengan persepsi berbeza antara satu sama lain. Perbezaan sudut pandang ini bergantung kepada beberapa perkara seperti ilmu, keimanan, amalan dan ketakwaan seseorang.

Orang beriman sentiasa reda dan menerima segala ketentuan dengan hati tenang kerana mereka berfikir secara positif, mencari hikmah di sebalik setiap peristiwa. Setiap insan sentiasa mengharapkan kedamaian dan ketenangan hidup, bahkan manusia menginginkan kesenangan itu berpanjangan. Realiti kehidupan tidak selalu begitu kerana langit tidak selalunya cerah.

Lakukan segala perintah Allah dan lakukan perkara-perkara yang baik dan amal soleh  akan  untuk mendidik diri menerima sesuatu peristiwa baik atau buruk dengan penuh keredaan. Dengannya kita akan berasa tenang dalam menerima sesuatu dengan rela hati.

Banyakkan bersyukur kepada Allah dan membilang nikmatnya. Kita beriman bahawa Allah tetap memberi nikmat di dunia kepada semua hamba-Nya. Apabila kita mendapat nikmatnya kita bersyukur dan mengiktiraf nikmat itu supaya tidak lupa jasa Allah.

Firman Allah 
وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً
 yang bermaksud:  “Allah sudah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kalian baik yang zahir mahupun yang batin.” - (Surah Luqman, ayat 20)

Allah berfirman 
وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لا تُحْصُوهَا
yang bermaksud: “Dan jika kalian menghitung nikmat Allah nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya.” (Surah Ibrahim, ayat 34)

Nabi Sulaiman yang dikurniakan kerajaan dan kekayaan berkata:
هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ
 “Ini termasuk dalam kurnia Tuhanmu untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau kufur nikmat.” (Surah an-Namlu, ayat 40)

Syukur bukan setakat mengucapkannya tetapi kita perlu zahirkan kelakuan orang yang bersyukur dalam bentuk perbuatan. Contohnya, apabila seseorang itu mendapat keuntungan daripada perniagaan diusahakannya, dia akan dibelanjakan ke jalan halal dengan ikhlas. Musibah/cubaan menghapuskan dosa. Kita menerima musibah dengan positif untuk menyedarkan kita supaya menilai kembali tingkah laku. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan dosa. Musibah/cubaan dapat melenyapkan dosa yang dilakukan .

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seseorang mukmin itu ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa sakit dan keletihan hingga tertusuk duri melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan dosanya.” (Maksud al-Hadis)

Bersabar tanda kemenangan.Allah mendidik kita supaya menerima sesuatu dengan reda dan sabar kerana Allah bersama dengan orang yang sabar. Orang yang bersabar akan mendapat kemenangan di dunia dan syurga di akhirat. Firman Allah
لِكَيْلا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ
yang bermaksud:“Dan supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat sesuatu nikmat.” (Surah al-Hadid, ayat 23)

Berdoa dan memohon pertolongan hanya kepada Allah. Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, yakin dan kenalilah Allah ketika senang nescaya Allah akan mengenali kita ketika susah. Berdoa dengan khusyuk dan jadikan berdoa para nabi sebagai panduan. Bayangkan bagaimana pasrah dan khusyuk nabi berdoa dalam keadaan genting. Kita juga tahu Allah memakbulkan doa mereka. Nabi Ibrahim berdoa memohon pertolongan Allah ketika dibakar dalam unggun api yang marak menyala, Nabi Muhammad ketika perang Badar dan Nabi Musa yang cemas ketika di kepung Firaun di Laut Merah dan saat kegelapan Nabi Yunus dalam perut ikan.

Banyak membaca al-Quran. Al-Quran adalah kitab rujukan utama kepada setiap mukmin yang cemerlang. Kitab ini perlu dibaca dan fahami maksudnya setiap hari dengan tujuan melembutkan hati serta mendidik jiwa supaya istiqamah dalam amalan yang baik. Allah sentiasa mengingatkan supaya mengambil pendekatan sederhana kerana keluh kesah akan menambah lagi musibah. Apabila menerima sesuatu musibah, kita zahirkan rasa syukur dengan membandingkan musibah lebih besar atau membandingkan musibah dihadapi orang lain.

Mengambil pelajaran dan melihat sesuatu hikmah dalam setiap perkara akan melahirkan insan yang celik perasaan serta mampu mengharungi hidup yang penuh pancaroba.

والله أعلم بالصواب والله تعالى أعلىو أعلم

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)

كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala  Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)